UNTUK DIKONGSI RASA



























Monday, February 10, 2014

CUBA BAKAT HIAS HIDANGAN PENGANTIN

ASSALAM

Beberapa teks ucapan sekadar perkongsian atas permintaan rakan.

UCAPAN PIBG

YDP PIBG Terima kasih pengacara majlis. Bismilla hirrahma nirahim. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Yang Berhormat Tn Hj Mohammad Pehemi bin Yusof ADUN Kota Putera Yang Berbahagia, Tn. Hj Ab Halim bin Hj Hassan, Pegawai PPD Besut Yang Berbahagia Tn. Hj Wan Zahari bin Wan Ali, Pengetua SMKPNZ. Yang berusaha Haji Amlin, Timbalan Pengerusi PIBG, Ahli –ahli Jawatankuasa PIBG Guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang saya hormati sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung PIBG SMKPNZ kali ke-8 tahun 2013. Pertama sekali, saya merakam ribuan terima kasih kepada YB kerana sudi hadir dalam majlis kita pada hari ini walaupun kita tahu YB amat sibuk dengan tugasan . Saya juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak kita pada masa hadapan. YB / hadirin dan hadirat sekalian. Bunga selasih di tapak tangan, Dipetik orang harum mewangi, Segunung kasih kami taburkan Keprihatinan tuan dijunjungi tinggi. Alhamdulillah. Masa terus berlalu, tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah usia 10 tahun. Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah kita yang tidak pernah berasa putus asa dalam mendidik anak-anak kita. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah swt. Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong segala usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Umpamanya, Program Temu Murni Pelajar PMR / SPM dan Program Motivasi dan Kemahiran Belajar. Pihak PIBG juga banyak memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum sekolah seperti Kem PMR dan SPM serta hadiah kecemerlangan untuk pelajar-pelajar yang berjaya. Pada hari ini juga kita berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam PMR 2012 yang lalu, di samping sumbangan yang diberikan oleh pihak sekolah sendiri. Penghargaan seumpama ini diharapkan akan menjadi titik tolak, membakar semangat para pelajar untuk berusaha lebih gigih mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Walau bagaimanapun, anak-anak sekalian janganlah kita berusaha belajar untuk Berjaya dengan cemerlang kerana mengharapkan penghargaan dan hadiah semata-mata. Belajarlah untuk mencapai kecemerlangan bagi mengubah hidup anak-anak pelajar dan juga keluarga pada masa hadapan kelak. YB / hadirin hadirat yang dimuliakan, Sumbangan yang PIBG berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah sebahagian besarnya daripada hasil sumbangan yang kita sumbangkan dalam tabung PIBG SMKPNZ. Untuk itu, maka saya menyeru kepada para ibu bapa agar tidak mengambil mudah atau sambil lewa dalam membuat bayaran tambahan (yang tuan-puan kenali sebagai yuran) supaya tabungan PIBG semakin bertambah untuk kita sama-sama terus menjana dan merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak kita juga. Tabungan PIBG tiada mempunyai sumber lain kecuali melalui sumbangan daripada pihak tuan-puan juga. Begitu juga, saya ingin menyeru kepada semua yang hadir hari ini agar kita sama-sama memberi sumbangan atau tuan-puan juga boleh berusaha berganding bahu bersama jawatankuasa pembinaan surau sekolah, untuk kita sama-sama mengumpul dana demi impian kita melihat sebuah surau atau yang dinamakan MASJID AL-ZAHIRIAH ini menjadi kenyataan. Supaya memberi keselesaan kepada anak-anak kita juga untuk menjalani ibadat solat. Malahan pada hemat saya, sekiranya surau ini sudah boleh digunakan, sudah tentu pihak sekolah boleh memperhebatkan lagi aktiviti kerohanian anak-anak kita supaya cahaya mata kita ini akan terus dalam limpah hidayahNYA. Malahan pada pandangan saya, aktiviti kerohanian akan lebih diperluaskan bukan sahaja melibatkan warga sekolah, malahan komuniti luar atau masyarakat setempat boleh turut terlibat dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ini menggambarkan bahawa keikhlasan, kerjasama kita semua untuk melihat anak-anak kita dan sekolah ini akan menempa kejayaan bukan sahaja di dunia malahan di akhirat kelak. Ibu bapa sekalian patut sedar dewasa ini pelbagai masalah gejala sosial semakin menular dalam kalangan anak-anak muda kita. Tanpa benteng kerohanian yang utuh, tidak mustahil anak-anak kita juga turut tergelincir dalam menongkah arus negatif ini. Pelbagai gaya dan pelbagai aksi sudah kita tontoni di kaca-kaca Televisyen. Mampukah kita berdepan dengan masalah ini jika anak-anak kita sebahagian daripadanya. Saya juga menyeru kepada para ibu bapa agar mengambil kesempatan dan juga ruang, malahan jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya dihubungi oleh pihak sekolah untuk hadir ke sekolah bagi berbincang permasalahan anak-anak tuan-puan. Tutur kata dan tingkah laku anak-anak tuan-puan mungkin tidak sama semasa di rumah dan juga di sekolah, jadi amatlah wajar sekali seandainya kita memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak sekolah yang ternyata berusaha keras malah tulus ikhlas mahu membentuk anak-anak tuan-puan menjadi insan yang terbilang dari segi akademik jua sahsiah. Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada kepada hebatnya guru-guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malahan perlu seiringan dengan kecemerlangan murid dari aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum serta komitmen padu para ibu bapa dan komuniti setempat. Kita tidak boleh lepas tangan menyerahkan bulat-bulat urusan mendidik anak-anak kita kepada pihak sekolah semata-mata. Amat molek kiranya kita boleh duduk berbincang tanpa ada rasa sangsi antara kita. Jika pihak sekolah mengambil tahu segala tindak-tanduk anak-anak tuan-puan dari sekecil-kecil laku umpama tidak menyiapkan kerja sekolah, membawa kepada masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah kepada sebesar-besar masalah, umpama gejala vandalisme atau merosakkan harta benda sekolah, pergaduhan sesama mereka malahan juga kes buli, serta cabul, itu menggambarkan kecaknaan guru-guru dan pihak sekolah terhadap anak-anak kita. Sewajarnya lah kita memberi kerjasama kepada guru-guru ini dan juga pihak sekolah. Kita juga harus mengelakkan sikap menunding jari sesama kita, tetapi patut mengambil jalan tengah penyelesaian secara bersama untuk kebaikan kita bersama juga. YB / hadirin dan hadirat sekalian Sempena dengan mesyuarat PIBG kali ini, marilah kita menggunakan pendekatan musyawarah jika timbul sebarang masalah atau salah faham sesama kita. Kita jadikan diri kita, guru-guru dan masyarakat setempat sebagai satu komuniti yang saling lengkap-melengkapi. Masalah disiplin dan tingkah laku anak-anak perlu kita tanganinya bersama. Masalah ponteng sekolah yakni tidak hadir ke sekolah mesti diambil tindakan segera. Jangan kita biarkan anak-anak kita tidak hadir tanpa sebab yang munasabah. Saya merasakan para guru akan merasakan bangga jika kita sebagai ibu bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak kita di sekolah. Kita harus sedar, kecemerlangan seseorang pelajar ini amat bergantung kepada pendisiplinan mereka dalam menuntut ilmu. Mereka mesti disiplin dengan peraturan agama Islam. Mereka juga mesti berdisiplin dengan peraturan sekolah. Untuk ini, kita perlu mendampingi dan selalu bertanya khabar dengan guru tentang anak-anak kita. Jangan ambil tindakan melulu berdasarkan maklumat daripada anak-anak kita semata.-mata. Mungkin sikap mereka di rumah tidak sama dengan sikap mereka ketika di sekolah. Akhir kata, sebelum saya menutup ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada guru-guru dan ibu bapa atas kerjasama padu demi melihat kejayaan anak-anak pelajar semua. Terima kasih yang tidak terhingga saya kepada Yang Berhormat Tuan Hj Mohammad Pehimi bin Yusoff kerana sudi singgah kemari untuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah kali ke-10 tahun 2013. Saya tinggalkan tuan-puan dengan serangkap pantun buat renungan semua, semoga menjadi panduan dalam kita berusaha mendidik anak-anak kita menuju kecemerlangan akademik dan sahsiah. Sampan kotak hilir mudik Dayung patah galah sebatang Ikhtiar tidak datang menggolek Akal tidak datang melayang . Sekian, terima kasih.

UCAPAN SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

UCAPAN MERDEKA 2012 Assalamualaikum wbt dan salam 1 Malaysia. Yang Berbahagia, Tn.Hj Wan Zahari bin Wan Ali, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong kanan Pentadbiran, En. Amran bin Ibrahim, Penolong kanan Hal Ehwal Murid, En. Wan Pauzi bin Wan Mohd, Penolong kanan Kokurikulum Rakan guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, rakan-rakanguru, kakitangan sekolah dan rakan pelajar yang dikasihi sekalian. Syukur alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada majlis sambutan ambang Merdeka peringkat sekolah tahun 2012. Terlebih dahulu , saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua kerana memberi laluan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata bersempena sambutan kemerdekaan ke-55 tahun. Tema hari kemerdekaan pada tahun ini 55 Tahun Merdeka Janji ditepati. Alhamdulillah sudah 55 tahun berlalu era penjajahan bermakna sudah 55 tahun bumi bertuah ini menjadi sebuah negara yang bebas berdaulat dan mentadbir mengikut acuan sendiri. Jika kita kenangkan kembali sejarah lampau sebelum negara kita ditadbir berdasarkan hala tuju kita sendiri, oleh anak bangsa kita sendiri. Kita tentu tidak lupa beberapa penjajah bermula era Portugis, Belanda, British dan Jepun yang telah menakluk bumi bertuah ini kerana kekayaan hasil bumi negara kita, malahan kita terletak di rantau gugusan kepulauan Melayu yang strategik untuk kegiatan ekonomi perdagangan antarabangsa. Kita perlu tahu dan sedar, tanah air kita, bangsa kita merupakan suatu bangsa yang gemilang suatu masa dahulu. Betapa kegemilangan kerajaan Melayu Melaka yang merangkumi keseluruhan Tanah Melayu, termasuk pulau Sumatera dan Jawa menunjukkan keagungan bangsa kita suatu ketika dahulu. Kita sepatutnya mengambil ikhtibar dari sejarah lampau. Melalui pembelajaran sejarah, kita akan dapat mengetahui segalanya. Dalam sukatan pelajaran Sejarah juga diberi penekanan tentang nilai dan iktibar dari peristiwa Sejarah yang merupakan fakta yang tepat dan sahih. Sejarah adalah suatu roda, jika hari ini kita alpa dalam setiap tindak tanduk kita tanpa merujuk pada Sejarah, tidak mustahil sejarah lama berulang kembali. Rakan-rakan guru dan para pelajar sekalian, Rekabentuk logo kemerdekaan tahun ini diilhamkan hasil gabungan bendera Jalur Gemilang yang merupakan simbol negara Malaysia yang dicintai yang mempamerkan pencapaian cemerlang sejak negara merdeka. Jalur Gemilang merupakan kebanggaan setiap rakyat Malaysia. Nombor 55 yang berwarna kuning pula melambangkan kedaulatan institusi Raja Berpelembagaan dan kedaulatan negara yang telah dipertahankan sejak 55 tahun. Huruf besar M yang berwarna biru melambangkan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berusaha mencapai kemajuan iaitu Maju dan kemakmuran iaitu Makmur. Frasa ”e r d e k a” yang berwarna biru berhuruf condong melambangkan keunikan, liku-liku serta cabaran yang dihadapi oleh para pejuang dan pemimpin negara dalam memperjuangkan dan mempertahankan kemerdekaan negara. Frasa Janji ditepati berwarna merah melambangkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam menunaikan janji kepada rakyat untuk kemajuan dan kemakmuran serta kehidupan. Rakan-rakan guru dan para pelajar sekalian, bersama-samalah kita hayati kemerdekaan negara kita. Untuk mencapai kemerdekaan bukan suatu perkara yang mudah, namun suatu perkara yang amat sukar untuk mengisi kemerdekaan ini dengan penuh makna. Berusahalah kita untuk menjadi warganegara Malaysia yang bersyukur dan menghargai kedaulatan bangsa dan negara kita selagi tidak bertentangan dengan landasan agama kita. Akhir kata, Selamat menyambut hari Kemerdekaan negara yang ke-55 tahun, sama-sama kita doakan agar kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran negara kita akan tetap berkekalan untuk tahun-tahun yang akan datang. Jika kita pilih keamanan, kita akan memperoleh keamanan. Saya petik kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dalam ucapan sewaktu Persidangan Agung UMNO di Melaka pada 5 April 1953 ” Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah untuk di dapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri. Merdeka yang kita tujukan itu, saya ulangi menyebut lagi iaitu hendak kita capai dengan jalan perlembagaan.” Sekian, wassalamualaikum wbt

UCAPAN WAKIL PELAJAR 1

UCAPAN WAKIL PELAJAR Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, En. Ab Halim bin Hj Hassan, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah Yang Berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang , Yang Dipertua PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong kanan Pentadbiran, En. Amir Azha b. Yusof, Penolong kanan Hal Ehwal Murid, En. Mohamad Suhaili b Hamzah, Penolong kanan Kokurikulum Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, guru-guru, kakitangan sekolah dan rakan pelajar yang dikasihi sekalian. Syukur alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada pagi nan berbahagia ini untuk majlis pertukaran tuan Pengetua yang kita hormati dan sayangi. Saya mewakili rakan-rakan pelajar SMKPNZ ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada tuan pengetua kerana telah dinaikkan pangkat sebagai timbalan pegawai pelajaran daerah Besut. Kami juga ingin menyatakan perasaan bangga kerana mempunyai tuan pengetua yang begitu hebat di sekolah kami sebelum ini. Guru-guru dan rakan pelajar sekalian, Saya juga ingin memohon kemaafan dari tuan pengetua bagi pihak rakan-rakan yang lain andai kami tersilap dan tersalah tingkah laku. Kami memohon seribu kemaafan dari tuan pengetua. Kami juga mendoakan agar tuan pengetua sejahtera walau di mana tempat tuan bertugas. Selamat bertugas di PPD kami ucapkan. Sekian, wassalamualaikum wbt.

UCAPAN KERAIAN 2

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, Tuan Hj Baharuddin bin Ibrahim, Pegawai Pelajaran Daerah Besut Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah dan isteri Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan, Ahli Jawatankuasa PIBG,Dif-dif Jemputan,Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, guru-guru, kakitangan sekolah dan para pelajar yang dikasihi sekalian. . Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya , saya diberi ruang untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis yang cukup bermakna pada pagi ini. Majlis yang dinamakan Tautan Kasih Selingkar Kenangan sempena persaraan Tuan Pengetua, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat yang cukup dihormati oleh warga SMKPNZ khususnya, dan warga Besut amnya. Saya menyatakan rasa bangga saya kerana dapat mengenali beliau sebagai seorang Pengetua yang cukup hebat dan saya rasa cukup bertuah kerana dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Tuan Hj Ramli ini. Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan, Melalui pemerhatian saya, saya dapat lihat kerjasama antara guru-guru dan Tuan Pengetua berganding bahu dalam usaha untuk membentuk kecemerlangan anak-anak yang belajar di SMKPNZ ini, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum, malahan juga menitikberatkan soal moral dan kecemerlangan sahsiah. Suka saya nyatakan di sini, betapa berat tugas seorang pemimpin dalam merealisasikan visi dan misi sesebuah organisasi pendidikan seperti sekolah ini. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, namun pada hemat saya, beliau merupakan seorang pengetua yang menjaga kebajikan kakitangan di bawah naungan beliau dan merupakan seorang yang mengambil berat segala masalah anak buah beliau sebab itulah beliau disenangi oleh semua pihak. Tuan Haji Ramli yang saya kenali, seorang yang bijak menangani soal kerja dan seorang yang berwawasan. Setiap orang yang mengenali beliau, pada pandangan saya akan bersetuju dengan pernyataan saya. Sejak beliau berkhidmat sebagai pengetua di sini, saya dapat lihat banyak perubahan yang positif terhadap sekolah ini. Apa yang paling jelas kita dapat lihat dari segi keceriaan sekolah ini, kita dapat lihat sendiri apabila kita melangkah masuk ke kawasan sekolah. Malahan juga kita dapat lihat keceriaan pada wajah guru-guru yang berkhidmat di sini serta kakitangan yang bekerja dengan senyuman. Pada hemat saya, mereka cukup senang dan gembira bekerja dengan Tuan Haji Ramli. Dewan besar ini juga kita lihat ada perubahan ketara, semakin nampak gemilang, demi meraikan Tuan pengetua yang pada saya cukup disayangi dan disenangi oleh semua warga SMKPNZ. Saya difahamkan banyak program yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah di bawah pimpinan beliau untuk memastikan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan awam terutamanya. Sebagai teraju utama , beliau banyak memainkan peranan demi meningkatkan kecemerlangan. Semoga usaha ini akan diteruskan oleh Pengetua yang akan mengambil alih tampuk pimpinan ini. Hadirin yang dimuliakan, Harapan saya kepada guru-guru di sini agar terus berjuang dalam menjalankan tugas sebagai pendidik bangsa. Selepas ini walau bersama siapa sahaja tuan-puan bernaung khidmat, semoga tuan-puan akan tetap cekal dan tekal dalam menjalankan tugas sebagai guru, malahan akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi diri untuk terus maju ke tahap yang lebih tinggi, lebih cemerlang demi masa depan diri serta anak bangsa kita. Teruskan kerjasama yang tuan-puan pupuk selama ini, akar tidak akan berguna jika tiada pokok, dan pokok tidak boleh berdiri megah tanpa adanya akar, demikian juga kita sebagai manusia, tidak boleh bekerja secara bersendirian, kerana hanya dengan kerjasama yang erat sahaja boleh menjamin sesebuah organisasi itu dapat berdiri dan utuh duduknya. Kepada anak-anak pelajar, berusahalah memperbaiki diri dan mengejar kecemerlangan dan menjaga nama baik serta maruah sekolah ini. Berilah kerjasama yang sepenuhnya kepada Tuan pengetua yang baru kelak. Hadirin sekalian, Saya mewakili seluruh warga kerja PIBG SMKPNZ ingin mengambil kesempatan ini, menyusun sepuluh jari memohon maaf dari Tuan Haji Ramli andai sepanjang kami berkhidmat bersama Tuan haji, ada yang tersilap kata dan tersalah bicara. Selaku insan biasa yang serba tidak sempurna, kami amat berharap agar segala perlakuan dan khilaf bicara yang menyentuh perasaan Tuan Pengetua tidak disimpan dalam hati. Lagipun kita masih lagi dalam suasana berhari raya Aidiladha, jadi tidak salah kita bermaaf-maafan sesama kita demi mengeratkan silaturrahim dan juga muhibbah. Terima kasih yang tidak terhingga dari saya dan seluruh jawatankuasa PIBG atas segala khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh Tuan pengetua sepanjang berkhidmat di SMKPNZ, semuanya adalah untuk kebaikan anak-anak kita juga. Segala jasa Tuan Pengetua, tidak terbalas oleh kami. Hanya doa kami semoga Tuan Pengetua berada dalam lindungan dan rahmat Ilahi sepanjang masa. Selepas ini Tuan Pengetua akan berehat panjang dan harapan saya agar Tuan haji Ramli akan terus menyumbangkan ilmu dan buah fikiran walaupun selepas bersara nanti. Hadirin yang dimuliakan, Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tuan pengetua Tuan Haji Mhd Ramli bin Che Mat atas segala jasa sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pengetua di SMKPNZ ini. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun, Kembang melati sungguh indah Mekar setaman di tengah pekan Khidmat bakti selesai sudah Salah dan khilaf mohon dimaafkan Sekian, wassalamualaikum wbt.

UCAPAN KERAIAN 1

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, Tuan Hj Baharuddin bin Ibrahim, Pegawai Pelajaran Daerah Besut Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah dan isteri Yang Berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang , Yang Dipertua PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, Rakan-rakan Penolong Kanan, Ahli Jawatankuasa PIBG,Dif-dif Jemputan,Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, rakan-rakan guru, kakitangan sekolah dan para pelajar yang dikasihi sekalian. . Pertama sekali, saya memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya , saya diberi kesempatan dan ruang untuk berucap sepatah dua kata. Di kesempatan ruang ini, saya ingin menyatakan rasa syukur saya dan jua rakan-rakan guru serta seluruh warga SMKPNZ kerana dapat bernaung khidmat di bawah pimpinan Tuan Pengetua yang cukup hebat, Tn Hj Md Ramli bin Che Mat. Sukar untuk saya nyatakan di sini, betapa kami amat menghargai segala ruang peluang serta khidmat bakti yang Tuan Pengetua taburkan kepada kami di SMKPNZ ini . Hadirin-hadirat yang dimuliakan, Tuan Pengetua yang kami kenali, seorang yang tenang dalam apa jua keadaan dan mempunyai wawasan yang jelas untuk melestarikan kecemerlangan pendidikan para pelajar, jua menyemai benih-benih kerohanian di jiwa warga SMKPNZ. Selain mengejar ilmu keduniaan untuk kejayaan di dunia, Tuan Pengetua tidak lupa menekankan aspek-aspek kerohanian kerana pada hemat beliau, kejayaan di dunia tidak akan dapat diraih andai tidak seiiring dengan kejayaan akhirat. Sahsiah serta moral yang tinggi akan menjamin kejayaan pelajar dalam kehidupan di luar kelak. Banyak gagasan minda Tuan Pengetua yang telah mencetuskan percambahan fikiran jua program dalam merealisaikan misi dan visi sekolah. Dalam kelembutan tutur bicara dan kejernihan air muka beliau, tidak dinafikan ketegasan beliau dalam menjalankan tugas. Tegur serta nasihat yang disalurkan kepada kami semua penuh berkias, tapi cukup jelas, memaparkan betapa Tuan Pengetua cukup bijak dalam komunikasi bersama guru dan kakitangan. Beliau yang tidak lokek dengan ilmu, malah sentiasa memanfaatkan masa untuk berkongsi apa jua ilmu serta pengalaman beliau sepanjang berkhidmat di sini. Tuan Pengetua yang diraikan; Saya mewakili seluruh warga SMKPNZ ingin mengambil kesempatan di kala hening cuaca ini, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari Tuan Pengetua andai kami tersilap bicara, terkhilaf kata dan tersalah tingkah laku. Selaku insan yang lemah tidak pernah lari dari melakukan kesilapan, kami amat berharap agar segala perlakuan dan tutur bicara yang menyinggung perasaan Tuan Pengetua tidak disimpan dalam hati. Bak kata pujangga : Adat nan baharu berubah-ubah Adat manusia mengandung salah Segala bakti dan jasa Tuan pengetua sepanjang berkhidmat di SMKPNZ ini akan sentiasa kami kenang. Amat bertepatan dengan Majlis Tautan kasih Selingkar Kenangan, kami amat berharap kerja buat kami selama ini merupakan satu Tautan kasih kami bersama Tuan Pengetua, akan diabadikan dalam Selingkar Kenangan kami dan Tuan Pengetua selagi hayat dikandung badan. Janji kami pada Tuan Pengetua, kami akan teruskan kerjasama serumpun bagai satu keluarga demi mencapai moto sekolah Aspirasi Intelek Gemilang dan meneruskan wawasan serta gagasan Tuan Pengetua. Patah tumbuh hilang berganti, kami akan tetap berjuang dan menabur khidmat bakti demi membuktikan Sekolah itu Mulia. Hadirin yang dimuliakan, Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tuan pengetua yang kami sanjungi. Kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahgian Tuan Pengetua walau di mana sahaja Tuan berada. Persaraan Tuan Pengetua bukannya menjadi jarak pemisah kepada hubungan silaturrahim yang sudah terjalin antara kita. Saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun, Membawa dulang beralas sutera Berisi hadiah buat pemenang Selamat istirehat selamat bersara Moga bertuah hatipun senang Jejaran mengkudu berbias kesuma Di celah angsana di Pulau Bali Akhir di sini noktah bersama Di lain masa bersua kembali Sekian, wassalamualaikum wbt.