UNTUK DIKONGSI RASA



























Monday, February 10, 2014

UCAPAN KERAIAN 1

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, Tuan Hj Baharuddin bin Ibrahim, Pegawai Pelajaran Daerah Besut Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah dan isteri Yang Berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang , Yang Dipertua PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, Rakan-rakan Penolong Kanan, Ahli Jawatankuasa PIBG,Dif-dif Jemputan,Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, rakan-rakan guru, kakitangan sekolah dan para pelajar yang dikasihi sekalian. . Pertama sekali, saya memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya , saya diberi kesempatan dan ruang untuk berucap sepatah dua kata. Di kesempatan ruang ini, saya ingin menyatakan rasa syukur saya dan jua rakan-rakan guru serta seluruh warga SMKPNZ kerana dapat bernaung khidmat di bawah pimpinan Tuan Pengetua yang cukup hebat, Tn Hj Md Ramli bin Che Mat. Sukar untuk saya nyatakan di sini, betapa kami amat menghargai segala ruang peluang serta khidmat bakti yang Tuan Pengetua taburkan kepada kami di SMKPNZ ini . Hadirin-hadirat yang dimuliakan, Tuan Pengetua yang kami kenali, seorang yang tenang dalam apa jua keadaan dan mempunyai wawasan yang jelas untuk melestarikan kecemerlangan pendidikan para pelajar, jua menyemai benih-benih kerohanian di jiwa warga SMKPNZ. Selain mengejar ilmu keduniaan untuk kejayaan di dunia, Tuan Pengetua tidak lupa menekankan aspek-aspek kerohanian kerana pada hemat beliau, kejayaan di dunia tidak akan dapat diraih andai tidak seiiring dengan kejayaan akhirat. Sahsiah serta moral yang tinggi akan menjamin kejayaan pelajar dalam kehidupan di luar kelak. Banyak gagasan minda Tuan Pengetua yang telah mencetuskan percambahan fikiran jua program dalam merealisaikan misi dan visi sekolah. Dalam kelembutan tutur bicara dan kejernihan air muka beliau, tidak dinafikan ketegasan beliau dalam menjalankan tugas. Tegur serta nasihat yang disalurkan kepada kami semua penuh berkias, tapi cukup jelas, memaparkan betapa Tuan Pengetua cukup bijak dalam komunikasi bersama guru dan kakitangan. Beliau yang tidak lokek dengan ilmu, malah sentiasa memanfaatkan masa untuk berkongsi apa jua ilmu serta pengalaman beliau sepanjang berkhidmat di sini. Tuan Pengetua yang diraikan; Saya mewakili seluruh warga SMKPNZ ingin mengambil kesempatan di kala hening cuaca ini, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari Tuan Pengetua andai kami tersilap bicara, terkhilaf kata dan tersalah tingkah laku. Selaku insan yang lemah tidak pernah lari dari melakukan kesilapan, kami amat berharap agar segala perlakuan dan tutur bicara yang menyinggung perasaan Tuan Pengetua tidak disimpan dalam hati. Bak kata pujangga : Adat nan baharu berubah-ubah Adat manusia mengandung salah Segala bakti dan jasa Tuan pengetua sepanjang berkhidmat di SMKPNZ ini akan sentiasa kami kenang. Amat bertepatan dengan Majlis Tautan kasih Selingkar Kenangan, kami amat berharap kerja buat kami selama ini merupakan satu Tautan kasih kami bersama Tuan Pengetua, akan diabadikan dalam Selingkar Kenangan kami dan Tuan Pengetua selagi hayat dikandung badan. Janji kami pada Tuan Pengetua, kami akan teruskan kerjasama serumpun bagai satu keluarga demi mencapai moto sekolah Aspirasi Intelek Gemilang dan meneruskan wawasan serta gagasan Tuan Pengetua. Patah tumbuh hilang berganti, kami akan tetap berjuang dan menabur khidmat bakti demi membuktikan Sekolah itu Mulia. Hadirin yang dimuliakan, Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tuan pengetua yang kami sanjungi. Kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahgian Tuan Pengetua walau di mana sahaja Tuan berada. Persaraan Tuan Pengetua bukannya menjadi jarak pemisah kepada hubungan silaturrahim yang sudah terjalin antara kita. Saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun, Membawa dulang beralas sutera Berisi hadiah buat pemenang Selamat istirehat selamat bersara Moga bertuah hatipun senang Jejaran mengkudu berbias kesuma Di celah angsana di Pulau Bali Akhir di sini noktah bersama Di lain masa bersua kembali Sekian, wassalamualaikum wbt.

1 comment:


  1. movies flame offers the latest and greatest movies, as well as a huge selection of classic films. You can browse by genre, release date, or even critic scores, so you can be sure you're watching the best of the best. And if you're not sure what you want to watch, the site's recommendations are always on point.

    ReplyDelete