UNTUK DIKONGSI RASA



























Monday, February 10, 2014

UCAPAN KERAIAN 2

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Yang Berbahagia, Tuan Hj Baharuddin bin Ibrahim, Pegawai Pelajaran Daerah Besut Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah dan isteri Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan, Ahli Jawatankuasa PIBG,Dif-dif Jemputan,Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, guru-guru, kakitangan sekolah dan para pelajar yang dikasihi sekalian. . Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya , saya diberi ruang untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis yang cukup bermakna pada pagi ini. Majlis yang dinamakan Tautan Kasih Selingkar Kenangan sempena persaraan Tuan Pengetua, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat yang cukup dihormati oleh warga SMKPNZ khususnya, dan warga Besut amnya. Saya menyatakan rasa bangga saya kerana dapat mengenali beliau sebagai seorang Pengetua yang cukup hebat dan saya rasa cukup bertuah kerana dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dengan Tuan Hj Ramli ini. Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan, Melalui pemerhatian saya, saya dapat lihat kerjasama antara guru-guru dan Tuan Pengetua berganding bahu dalam usaha untuk membentuk kecemerlangan anak-anak yang belajar di SMKPNZ ini, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum, malahan juga menitikberatkan soal moral dan kecemerlangan sahsiah. Suka saya nyatakan di sini, betapa berat tugas seorang pemimpin dalam merealisasikan visi dan misi sesebuah organisasi pendidikan seperti sekolah ini. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, namun pada hemat saya, beliau merupakan seorang pengetua yang menjaga kebajikan kakitangan di bawah naungan beliau dan merupakan seorang yang mengambil berat segala masalah anak buah beliau sebab itulah beliau disenangi oleh semua pihak. Tuan Haji Ramli yang saya kenali, seorang yang bijak menangani soal kerja dan seorang yang berwawasan. Setiap orang yang mengenali beliau, pada pandangan saya akan bersetuju dengan pernyataan saya. Sejak beliau berkhidmat sebagai pengetua di sini, saya dapat lihat banyak perubahan yang positif terhadap sekolah ini. Apa yang paling jelas kita dapat lihat dari segi keceriaan sekolah ini, kita dapat lihat sendiri apabila kita melangkah masuk ke kawasan sekolah. Malahan juga kita dapat lihat keceriaan pada wajah guru-guru yang berkhidmat di sini serta kakitangan yang bekerja dengan senyuman. Pada hemat saya, mereka cukup senang dan gembira bekerja dengan Tuan Haji Ramli. Dewan besar ini juga kita lihat ada perubahan ketara, semakin nampak gemilang, demi meraikan Tuan pengetua yang pada saya cukup disayangi dan disenangi oleh semua warga SMKPNZ. Saya difahamkan banyak program yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah di bawah pimpinan beliau untuk memastikan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan awam terutamanya. Sebagai teraju utama , beliau banyak memainkan peranan demi meningkatkan kecemerlangan. Semoga usaha ini akan diteruskan oleh Pengetua yang akan mengambil alih tampuk pimpinan ini. Hadirin yang dimuliakan, Harapan saya kepada guru-guru di sini agar terus berjuang dalam menjalankan tugas sebagai pendidik bangsa. Selepas ini walau bersama siapa sahaja tuan-puan bernaung khidmat, semoga tuan-puan akan tetap cekal dan tekal dalam menjalankan tugas sebagai guru, malahan akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi diri untuk terus maju ke tahap yang lebih tinggi, lebih cemerlang demi masa depan diri serta anak bangsa kita. Teruskan kerjasama yang tuan-puan pupuk selama ini, akar tidak akan berguna jika tiada pokok, dan pokok tidak boleh berdiri megah tanpa adanya akar, demikian juga kita sebagai manusia, tidak boleh bekerja secara bersendirian, kerana hanya dengan kerjasama yang erat sahaja boleh menjamin sesebuah organisasi itu dapat berdiri dan utuh duduknya. Kepada anak-anak pelajar, berusahalah memperbaiki diri dan mengejar kecemerlangan dan menjaga nama baik serta maruah sekolah ini. Berilah kerjasama yang sepenuhnya kepada Tuan pengetua yang baru kelak. Hadirin sekalian, Saya mewakili seluruh warga kerja PIBG SMKPNZ ingin mengambil kesempatan ini, menyusun sepuluh jari memohon maaf dari Tuan Haji Ramli andai sepanjang kami berkhidmat bersama Tuan haji, ada yang tersilap kata dan tersalah bicara. Selaku insan biasa yang serba tidak sempurna, kami amat berharap agar segala perlakuan dan khilaf bicara yang menyentuh perasaan Tuan Pengetua tidak disimpan dalam hati. Lagipun kita masih lagi dalam suasana berhari raya Aidiladha, jadi tidak salah kita bermaaf-maafan sesama kita demi mengeratkan silaturrahim dan juga muhibbah. Terima kasih yang tidak terhingga dari saya dan seluruh jawatankuasa PIBG atas segala khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh Tuan pengetua sepanjang berkhidmat di SMKPNZ, semuanya adalah untuk kebaikan anak-anak kita juga. Segala jasa Tuan Pengetua, tidak terbalas oleh kami. Hanya doa kami semoga Tuan Pengetua berada dalam lindungan dan rahmat Ilahi sepanjang masa. Selepas ini Tuan Pengetua akan berehat panjang dan harapan saya agar Tuan haji Ramli akan terus menyumbangkan ilmu dan buah fikiran walaupun selepas bersara nanti. Hadirin yang dimuliakan, Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Tuan pengetua Tuan Haji Mhd Ramli bin Che Mat atas segala jasa sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pengetua di SMKPNZ ini. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun, Kembang melati sungguh indah Mekar setaman di tengah pekan Khidmat bakti selesai sudah Salah dan khilaf mohon dimaafkan Sekian, wassalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment