UNTUK DIKONGSI RASA



























Monday, February 10, 2014

UCAPAN KEMPEN JALUR GEMILANG

terima kasih pengerusi majlis, Yang berbahagia En Abdul Rahim bin Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran, En Amran bin Ibrahim, Penolong Kanan HEM, En Wan Pauzi bin Wan Mohd, Penolong Kanan Kokurikulum, Guru-guru Kanan, Guru Cemerlang, Kaunselor, Guru-guru dan anak-anak pelajar yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum wbt dan Salam Satu Malaysia. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi Tuhan yang Maha Agung lagi Maha tinggi, kerana dengan izinNya jua, maka kita dianugerahkan kewarasan akal, kesihatan fizikal dan mental untuk sama-sama turut serta dalam program Kempen Kibar Jalur Gemilang, yang bukan sahaja disambut di sekolah kita atau di daerah Besut sahaja, malahan seluruh Negara. Sukacita dimaklumkan di sini, bahawa perayaan Bulan Kemerdekaan akan disambut di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah, mulai 17 Julai 2012 , iaitu pada hari ini, sehingga 16 September 2012. Sehubungan dengan itu, maka bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan kita yang bersyukur sebagai warganegara Malaysia, hari ini kita menyahut seruan Negara untuk melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan serentak satu Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang bersemangat setia Negara, selain taat dan setia kepada raja dan pemimpin Negara, kita juga setia menjunjung 5 Prinsip Rukun Negara. Sebagai rakyat yang berbangga kerana lahir di bumi bertuah ini, amatlah wajar bagi kita menghormati lambang-lambang Negara, salah satunya ialah bendera Negara kita, iaitu Jalur Gemilang. Sepintas lalu, saya ingin berkongsi maklumat tentang sejarah Jalur Gemilang kebanggaan Negara kita. Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan. Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang. Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950. Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Berdasarkan maklumat tersebut,jelas kepada kita betapa perlunya kita untuk meghargai dan menghormati bendera Negara, Jalur Gemilang. Jalur Gemilang adalah melambangkan Negara kita. Kejayaan Negara kita di peringkat antarabangsa, pastinya Jalur Gemilang akan berkibar megah. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007. Akhir kata, sebagai warganegara yang berikrar untuk taat setia kepada Negara, menghargai dan menghormati Jalur Gemilang adalah menjadi tanggungjawab semua. Jangan ada dalam kalangan kita, mencerca dan menghina nama Negara, malahan memandang remeh pada kibaran Jalur Gemilang. Sama-samalah kita mengibarkan Jalur Gemilang sebagai menyahut seruan kerajaan, kempen Kibar Jalur Gemilang seluruh Negara. Sempena sambutan perayaan Bulan Kemerdekaan ke-55 tahun, bagi tahun 2012, sama-samalah kita menyemai tekad dan iltizam dalam usaha menyemarakkan kemerdekaan Negara. Maka, dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, saya melancarkan Kempen Jalur Gemilang sempena perayaan Bulan Kemerdekaan ke-55 tahun peringkat sekolah. Sekian, wassalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment