UNTUK DIKONGSI RASA



























Monday, February 10, 2014

UCAPAN SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

UCAPAN MERDEKA 2012 Assalamualaikum wbt dan salam 1 Malaysia. Yang Berbahagia, Tn.Hj Wan Zahari bin Wan Ali, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong kanan Pentadbiran, En. Amran bin Ibrahim, Penolong kanan Hal Ehwal Murid, En. Wan Pauzi bin Wan Mohd, Penolong kanan Kokurikulum Rakan guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, rakan-rakanguru, kakitangan sekolah dan rakan pelajar yang dikasihi sekalian. Syukur alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada majlis sambutan ambang Merdeka peringkat sekolah tahun 2012. Terlebih dahulu , saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua kerana memberi laluan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata bersempena sambutan kemerdekaan ke-55 tahun. Tema hari kemerdekaan pada tahun ini 55 Tahun Merdeka Janji ditepati. Alhamdulillah sudah 55 tahun berlalu era penjajahan bermakna sudah 55 tahun bumi bertuah ini menjadi sebuah negara yang bebas berdaulat dan mentadbir mengikut acuan sendiri. Jika kita kenangkan kembali sejarah lampau sebelum negara kita ditadbir berdasarkan hala tuju kita sendiri, oleh anak bangsa kita sendiri. Kita tentu tidak lupa beberapa penjajah bermula era Portugis, Belanda, British dan Jepun yang telah menakluk bumi bertuah ini kerana kekayaan hasil bumi negara kita, malahan kita terletak di rantau gugusan kepulauan Melayu yang strategik untuk kegiatan ekonomi perdagangan antarabangsa. Kita perlu tahu dan sedar, tanah air kita, bangsa kita merupakan suatu bangsa yang gemilang suatu masa dahulu. Betapa kegemilangan kerajaan Melayu Melaka yang merangkumi keseluruhan Tanah Melayu, termasuk pulau Sumatera dan Jawa menunjukkan keagungan bangsa kita suatu ketika dahulu. Kita sepatutnya mengambil ikhtibar dari sejarah lampau. Melalui pembelajaran sejarah, kita akan dapat mengetahui segalanya. Dalam sukatan pelajaran Sejarah juga diberi penekanan tentang nilai dan iktibar dari peristiwa Sejarah yang merupakan fakta yang tepat dan sahih. Sejarah adalah suatu roda, jika hari ini kita alpa dalam setiap tindak tanduk kita tanpa merujuk pada Sejarah, tidak mustahil sejarah lama berulang kembali. Rakan-rakan guru dan para pelajar sekalian, Rekabentuk logo kemerdekaan tahun ini diilhamkan hasil gabungan bendera Jalur Gemilang yang merupakan simbol negara Malaysia yang dicintai yang mempamerkan pencapaian cemerlang sejak negara merdeka. Jalur Gemilang merupakan kebanggaan setiap rakyat Malaysia. Nombor 55 yang berwarna kuning pula melambangkan kedaulatan institusi Raja Berpelembagaan dan kedaulatan negara yang telah dipertahankan sejak 55 tahun. Huruf besar M yang berwarna biru melambangkan perpaduan utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berusaha mencapai kemajuan iaitu Maju dan kemakmuran iaitu Makmur. Frasa ”e r d e k a” yang berwarna biru berhuruf condong melambangkan keunikan, liku-liku serta cabaran yang dihadapi oleh para pejuang dan pemimpin negara dalam memperjuangkan dan mempertahankan kemerdekaan negara. Frasa Janji ditepati berwarna merah melambangkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam menunaikan janji kepada rakyat untuk kemajuan dan kemakmuran serta kehidupan. Rakan-rakan guru dan para pelajar sekalian, bersama-samalah kita hayati kemerdekaan negara kita. Untuk mencapai kemerdekaan bukan suatu perkara yang mudah, namun suatu perkara yang amat sukar untuk mengisi kemerdekaan ini dengan penuh makna. Berusahalah kita untuk menjadi warganegara Malaysia yang bersyukur dan menghargai kedaulatan bangsa dan negara kita selagi tidak bertentangan dengan landasan agama kita. Akhir kata, Selamat menyambut hari Kemerdekaan negara yang ke-55 tahun, sama-sama kita doakan agar kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran negara kita akan tetap berkekalan untuk tahun-tahun yang akan datang. Jika kita pilih keamanan, kita akan memperoleh keamanan. Saya petik kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan dalam ucapan sewaktu Persidangan Agung UMNO di Melaka pada 5 April 1953 ” Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah untuk di dapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri. Merdeka yang kita tujukan itu, saya ulangi menyebut lagi iaitu hendak kita capai dengan jalan perlembagaan.” Sekian, wassalamualaikum wbt

1 comment: