UNTUK DIKONGSI RASA



























Friday, November 19, 2010

KITA NI GURU

KITA NI GURU

Kita ni guru
Ke tepi guru ke tengah guru
Ke mana-mana pun kita ni guru
Celik mata kita di subuh hari
Bermulanya tugas kita sebagai guru
Sehingga terlelap mata kita
Kita masih dibuai alunan mimpi
Sebagai seorang guru

Di sekolah kita ditegur “assalamualaikum cikgu”
“Selamat Pagi, Cikgu”
Di kedai kita ditegur “nak beli apa cikgu?”
Di jalanan kita ditegur “baru balik cikgu?”
Sebab kita ni guru

Kita ajar Rukun Negara
Kita semai semangat patriotisme
Kita tabur benih perpaduan
Kita pupuk rasa muhibbah
Kita ajar pelajar beradab
Kita sebar iklim kerohanian
Kita terap budaya sopan bertatasusila
Kita tegur pelajar yang kurang sopan

Kita huraikan ilmu yang kusut
Kita olah pelajaran yang ringkas
Kita imbau sejarah lampau
Kita formulakan kira-kira yang sukar
Kita cernakan kepayahan sains
Kita sekitarkan alam nurani
Kita cergaskan murid yang keletihan
Kerna kita ni guru
Kita idola, kita ‘role model’

Ada tika akal kita menangis sarat bebanan di meja tulis
Buku bertimbun berteriak pinta disemak
Fail bersusun pinta kemaskini
Ada tika tangis tawa berbaur dengan celoteh rakan sebelah
Ada tika jemari keletihan menarikan mata pena
Melakar perancangan untuk esok harinya
Menekan kekunci komputer demi tugasan




Ada tika tangan keputihan diwarnai kapur
Terkadangnya tercoret ‘marker pen’
Ketika mendidik anak murid yang dahaga ilmu
Ada tika kaki kita kepenatan menjelajah setiap inci ruang sekolah
Menghambat karenah mereka yang lincah
Jua ligat di kaki-kaki lima bangunan
Ada tika tekak kita keperitan
Pabila mengajar anak-anak murid yang keletah

Ada tika kita sebak
Pabila cuba melentur rebung yang kian membuluh
Ada tika kita terpaksa menahan pening
Melayan kenakalan anak-anak remaja
Ada tika kita perlu akui
Kita ni guru
Jangan lupa kita ni guru
Lagipun kita ni kan guru

Kita ni guru
Kita merungut, kita mengeluh
Kita mendengus, kita tersenyum, kita ketawa
Riak dan nadanya masih seorang guru
Kerana kita ni memang seorang guru
Dan kita ni guru.


Cikgu Anna SRA
Sempena Sambutan Hari Guru 2010

No comments:

Post a Comment