UNTUK DIKONGSI RASA



























Tuesday, April 5, 2011

SKRIP PENGACARA MAJLIS -BULAN BAHASA KEBANGSAAN

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2010


(1)

Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah

En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran,

En. Amran bin Ibrahim,Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

En. Wan Pauzi bin Wan Mohd, Penolong Kanan Kokurikulum

Guru-guru Kanan, Guru Cemerlang, kaunselor sekolah, rakan-rakan guru, dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum wbt dan salam satu Malaysia.

(2)
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maga Agung, Maha Tinggi kerana dengan limpah kurniaNya serta kehendakNya jua maka kita diberikan luangan waktu dan kesempatan, dianugerahkan kesihatan, disempurnakan kewarasan akal, didorong dan digerakkan minda dan deria rasa untuk kita sama-sama berkumpul di Dataran perhimpunan ini bagi Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Tahun 2010. Syukur juga kerana dengan izinNya kita berteduh berbumbungkan redup langit, dengan awan gemawan damai rasa ceria suasana.


(3)
Memulakan majlis, satu penghayatan bersama...

Hadirin diminta berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku, Lagu Negeri Terengganu, Lagu Sekolah dan seterusnya memurnikan bibir dengan zikir munajat.

*****
Seterusnya...marilah kita sama-sama menyanyikan dan menghayati pula Lagu Tema Bulan Bahasa Kebangsaan, Lagu Bahasa Jiwa Bangsa.

Kalungan bunga terima kasih buat semua.


(4)
Hadirin yang dimuliakan,

Bulan Bahasa Kebangsaan berlangsung sepanjang bulan Oktober, yang telah memulakan langkah bulan Oktober tahun 2009 , sebagaimana yang telah diuar-uarkan di kaca Televisyen dan dada-dada akhbar, Bulan Bahasa Kebangsaan adalah merupakan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

(5)

Selasih mekar di tengah desa
Mencelah sama kembang melati
Bahasa kebangsaan jiwa bangsa
Perpaduan disemai bersatu hati

Melilit rotan didahan ara
Di celah angsana mekar sekata
Ucapan Aluan pembuka bicara
Tuan Pengetua bermadah kata


Rakan-rakan guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian,

Majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat untuk menyampaikan bingkisan kata, dan sekaligus melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

##########
Demikian..satu pengucapan yang telus, percikan kata yang halus, membawa mesej dan makna yang kudus.

Majlis merakamkan sekalungan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua atas ucapan yang telah disampaikan.

(6)

Kita teruskan majlis dengan untaian kata madah bicara kilauan sukma, sama-samalah kita hayati bait-bait kata deklamasi sajak.

Majlis mempersilakan Adik Wan Afifah Aflah bt Kamaro dari kelas 2 Amanah untuk mendeklamasikan sajak dengan judul Bahasa Jiwaku.

***

Demikian tadi puitisnya bahasa. Terima kasih kepada Adik Afifah Aflah.


(7)

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sarat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi bangsa kerana bahasa

Seterusnya, majlis mempersilakan Adik Nur Elyanis Fazreen bt Kamarudin dari kelas 2 Amanah untuk bercerita.

******

Demikian tadi persembahan bercerita. Terima kasih diucapkan kepada Adik Elyanis Fazreen.


Burung serindit terbang melayang
Mari hinggap di ranting mati
Bukan ringgit pandangan orang
Pandangan atas bahasa budi

(8)

Sebelum majlis berlabuh tirai, sebelum titik bertemu nokhtah, majlis mempersilakan Al-fadzil Ustaz Wan Mohd Hassan Badri bin Wan Othman untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

************
Majlis merakamkan setulus ucapan terima kasih kepada Al-Fadzil Ustaz.



(9)
Berikut adalah pertandinga-pertandingan yang dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010:

1. Pertandingan Pidato
2. Deklamasi Sajak
3. Syarahan
4. Bercerita
5. Kuiz
6. Pertandingan Esei
7. Pertandingan Teka Silang kata
8. Beli pantun.

Majlis penutup dan Penyampaian hadiah akan diadakan pada hari Khamis, 21 Oktober 2010.

(10)

Majlis kita sampai dipenghujungnya, pihak majlis mohon mengambil sedikit kesempatan waktu dipenghujung ini untuk menyata dan menyampaikan sejuta kalungan bunga terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan majlis permai pada pagi nan ceria ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.


Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Bersama-samalah kita memastikan penyertaan dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang minggu ini berjalan lancar.


Sekian, Wassalamualakum wbt


PENUTUP BULAN BAHASA 2010


(1)

Yang Berbahagia, Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah

En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran,

En. Amran bin Ibrahim,Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

En. Wan Pauzi bin Wan Mohd, Penolong Kanan Kokurikulum

Guru-guru Kanan, Guru Cemerlang, kaunselor sekolah, rakan-rakan guru, dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum wbt dan salam satu Malaysia.

(2)
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan yang Maga Agung, Maha Tinggi kerana dengan limpah kurniaNya serta kehendakNya jua maka kita diberikan luangan waktu dan kesempatan, untuk kita sama-sama berkumpul di Dataran Perhimpunan ini bagi Majlis Perasmian Penutup Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 . Syukur juga kerana dengan izinNya kita dapat melaksanakan beberapa program yang telah dirancangkan.



Cincin suasa tersemat di jari
Hiasan tersohor dato Bahaman
Bahasa kebangsaan indah terperi
Menjulang martabat zaman berzaman



(3)
Hadirin diminta berdiri dan sama-sama menyanyikan lagu tema Bulan Bahasa Kebangsaan -lagu ”Bahasa Jiwa Bangsa”

................

Rakaman ucapan terima kasih buat semua.

(4)
Awan bersua citra berkisah
Ukiran sukma kilauan kelisa
Lagu bahasa jiwa bangsa berkumandang sudah
Bingkisan ucapan menyusul pula



Ran-rakan guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian,

Majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia Tn Hj Mhd Ramli bin Che Mat, pengetua SMKPNZ untuk menyampaikan bingkisan kata, ucapan penutup Bulan Bahasa Kebangsaan 2010. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

##########

Majlis merakamkan sekalungan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua atas ucapan yang telah disampaikan.


(5)


Seterusnya, kita tiba ke acara penyampaian hadiah,





Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan yang berbahagia En. Abdul Rahim bin Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran, untuk mengiringi Yang Berbahagia Tn. Hj Mhd Ramli bin Che Mat, Pengetua SMKPNZ, untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

..................................................

Terima kasih diucapkan kepada yang berbahagia Tuan Pengetua.

Adat nan baharu berubah-ubah
Adat manusia mengandung salah
Keputusan pertandingan diketahui sudah
Ada menang ada yang kalah.

Tahniah dan syabas kepada para pemenang, yang kalah usah menjerut rasa, cuba lagi di lain masa, di lain acara.

(6)


Majlis kita sampai di penghujungnya, pihak majlis mohon mengambil sedikit kesempatan waktu dipenghujung ini untuk menyata dan menyampaikan sejuta kalungan bunga terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan majlis permai pada pagi nan ceria ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.


Jejaran mengkudu bias kesuma
Di celah angsana di Kuala Sedeli
Akhir di sini noktah bersama
Di lain masa bersua kembali


Sekian, Wassalamualakum wbt

10 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian...

    ReplyDelete
  2. minta izin guna untuk majlis di sekolah...terima kasih... :)

    ReplyDelete
  3. minta izin jugak. dijadikan rujukan. jazakillah.

    ReplyDelete
  4. minta izin jugak. dijadikan rujukan. jazakillah.

    ReplyDelete
  5. Minta izin juga untuk rujukan kami.terima kasih.

    ReplyDelete
  6. minta izin guna majlis di sekolah...tk...

    ReplyDelete
  7. Saya minta izin gunapakai ye cikgu...Terima ksih cikgu.

    ReplyDelete
  8. Mohon izin menggunapakai semua teks cikgu ya. Terima kasih cikgu.

    ReplyDelete
  9. Mohon izin untuk guna bahan cikgu untuk program sekolah saya. terima kasih banyak.

    ReplyDelete