UNTUK DIKONGSI RASA



























Tuesday, April 5, 2011

SKRIP PENGACARA MAJLIS -KENANGAN PENGETUA

MAJLIS SEKALUNG BUDI SEJALUR KENANGAN

(1) TUAN KOB

Mengumumkan ketibaan Yang berbahagia , En. Ab Halim bin Hj Hassan, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah ke dalam dewan


(2)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Yang Berbahagia, En. Ab Halim bin Hj Hassan, Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah

Yang Berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang , Yang Dipertua PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah

En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong kanan Pentadbiran,

En. Amir Azha b. Yusof, Penolong kanan Hal Ehwal Murid,

En. Mohamad Suhaili b Hamzah, Penolong kanan Kokurikulum


Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Cemerlang, kaunselor Sekolah, rakan-rakan guru, kakitangan sekolah dan para pelajar yang dikasihi sekalian.


(3)
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, maka kita diberikan luangan waktu untuk kita sama-sama berkumpul di Dewan Gemilang ini untuk majlis Sekalung Budi Sejalur Kenangan Buat En Ab Halim bin Hj Hassan sempena pertukaran Pengetua yang kita hormati kerana kenaikan pangkat sebagai Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Besut.

(4)
Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian,

Majlis bermakna di pagi nan berbahagia ini, kita mulakan dengan munajat doa memohon restu dari Yang maha Esa. Majlis mempersilakan Al-Ustaz Amri b. Daud bagi memimpin pembacaan doa.

Dipersilakan ustaz.



SITI RUHANA
Terima kasih al-Fadzil Ustaz atas pimpinan doa sebentar tadi.

Semoga majlis nan berlangsung diberkati Yang Maha Agung.


(5)

Meneruskan acara pada pagi ini, majlis dengan suka citanya mempersilakan wakil pelajar NUR SHAHIRAH BT. CHE GHANI untuk memberikan ucapan. Dipersilakan.


Terima kasih diucapkan atas ucapan itu tadi.

(6)
Seterusnya, majlis dengan segala hormatnya menjemput Tn. Hj Mohamad Arshad bin Abu Bakar,Pengerusi Kelab Warga PNZ untuk menyampaikan sepatah kata bagi mewakili warga SMK Permaisuri Nur Zahirah.
Dipersilakan.


TUAN KOB

Terima kasih dicapkan kepada pengerusi kelab Warga PNZ.


(7)
Seterusnya, majlis dengan segala hormatnya menjemput yang berbahagia En. Abdul Rahim b Abdullah, Penolong kanan Pentadbiran, untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili barisan guru-guru SMK Permaisuri Nur Zahirah. Dengan segala hormatnya dipersilakan.


Terima kasih diucapkan kepada yang berbahagia En. Abdul Rahim b Abdullah atas ucapan itu tadi.

(8)

Berikutnya, majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan yang Berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang , Yang Dipertua PIBG SMK Permaisuri Nur Zahirah untuk memberikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.




SITI RUHANA
Majlis setulus hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang berbahagia Tn Hj Abdul Rashid b Awang atas ucapan yang telah disampaikan.


(8)
Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian,

Seterusnya , sama-samalah kita saksikan persembahan multimedia yang didedikasikan khas buat Tuan Pengetua.



........

Nukilan kata buat Tuan pengetua

Subuh hari lalu
Kau menjejak kaki ke PNZ
Kau sirami dinihari kami
Kau gemerlapkan pagi kami
Kau warnakan hari-hari kami
Kau cerikan waktu kerja kami
Kau hiburkan hari-hari kami
Dengan jenakamu
Senda gurau tak lekang di bibirmu
Penawar lara kami
Yang keletihan menghambat warga kecil PNZ
Kau mengajar kami erti Pakat Buat
Teguranmu membina kami
Ajarmu pasti kami tak lupa
Jasamu pasti kami abadikan
Benar ibarat gurindam jiwa,
Di dalam hati tidak dilupa
Sebagai rambut bersimpul mati
Tuan pengetua,
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu- rinduan
Namun begitu,
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali jua.

Namun kini,
Belum sempat senja menjengah
Kau terpaksa melangkah pergi
Nyata masa singkat sekali
Kami akur demi tugasmu
Patah tumbuh hilang berganti,
Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih,
Buatmu En. Ab Halim bin Hj Hassan.

(9) TUAN KOB
Hadirin yang dihormati,

Sampai masa yang kita nantikan bagi mendengar bingkisan kata dan amanat. Bagi maksud itu, majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan Yang Berbahagia, En. Ab Halim bin Hj Hassan ,Pengetua SMK Permaisuri Nur Zahirah untuk menyampaikan ucapan.
Dipersilakan.

SITI RUHANA
Demikian... satu penyampaian dan pengucapan yang telus membawa mesej dan makna yang kudus dari yang Berbahagia Tuan Pengetua.

Majlis merakamkan sepenuh penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang berbahagia Tuan Pengetua atas ucapan yang telah disampaikan.



(10)

Seterusnya ialah majlis penyampaian cenderamata tanda kenangan agar ingatan tak luput di hati, kepada yang Berbahagia Tuan Pengetua.

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan yang Berbahagia En Abdul Rahim b Abdullah, guru Penolong kanan Pentadbiran untuk mengiringi Yang Berbahagia Tuan Pengetua bagi menerima cenderamata.

1. Majlis mempersilakan wakil pelajar saudara Izzat Asyraf bin Jusoh
mewakili para pelajar SMK PNZ untuk menyampaikan cenderamata kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua, Dipersilakan.
........
Terima kasih.

2. Majlis seterusnya menjemput wakil Staf Sokongan Sekolah ________________________ untuk menyampaikan cenderamata.
Dipersilakan.
......
Terima kasih.

3. Bagi mewakili para Guru SMK Permaisuri Nur Zahirah, majlis menjemput Tn. Hj Mohamad Arsah bin Abu Bakar tampil bagi menyampaikan cenderamata dan juga seekor kambing kepada Yang Berbahagia Tuan Pengetua. Kambing tersebut tersedia di luar dewan
Dipersilakan.
......
Terima kasih.

4. Bagi mewakili unit Kokurikulum, majlis mempersilakan, yang Berbahagia En. Mohammad Suhaili bin Hamzah, penolong kanan Kokurikulum untuk menyampaikan cenderamata. Dipersilakan.
.......

Terima kasih.


5. Seterusnya bagi mewakili Unit HEM, majlis mempersilakan yang Berbahagia En Amir Azha bin Yusof untuk menyampaikan cenderamata. Dipersilakan.

.............
Terima kasih.

6. Bagi mewakili Unit Kurikulum majlis mempersilakan __________________________ _______________________________untuk menyampaikan cenderamata. Dipersilakan.

.....
Terima kasih.


7. Dan bagi mewakili Majlis Tadbir Sekolah, dijemput, yang Berbahagia En Abdul Rahim b Abdullah ,Guru Penolong Kanan Pentadbiran untuk menyampaikan cenderamata tanda ingatan kepada Tuan Pengetua.
Dipersilakan.

8. bagi mewakili PIBG, majlis mempersilakan __________________________________
______________________________________ untuk menyampaikan cenderamata.

.....
Terima kasih.


Terima kasih diucapkan kepada yang Berbahagia Tuan Pengetua.











(11)TUAN KOB

Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian,

Majlis kita sampai di penghujungnya.

Pihak majlis mohon merakamkan serangkap pantun khas untuk yang Berbahagia Tuan Pengetua.

Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh tepi jambangan
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Pihak majlis serta seluruh warga SMKPNZ sekali lagi mengucap sekalungan tahniah kepada Tuan pengetua, Selamat bertugas di PPD, Tuan ibarat sirih pulang ke gagang. Kami di sini mendoakan kesejahteraan Tuan Pengetua.



Majlis kita tamat di sini.
Majlis dengan sukacitanya menjemput yang Berbahagia Tuan pengetua , dan para guru untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di kantin sekolah. Dipersilakan.


Sekian, Wassalamualaikum wbt.

1 comment: